Edit

Friday 20 December 2013

Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) Bahagian 3



Bahagian III:
Kenalpasti dan bincangkan 5 amalan terbaik yang ditunjukkan oleh guru di sekolah tersebut semasa mereka menjalankan tugasan mereka.

Pendahuluan
Amalan baik dalam pengurusan bilik darjah bertujuan untuk mewujudkan dan mengekalkan iklim pembelajaran yang kondusif. Kebolehan seseorang guru berbuat
demikian merupakan satu pembuktian dan gambaran bahawa pengamalnya adalah seorang yang profesional, berwibawa dan berilmuan. Hasil pembelajaran yang dirancang boleh dicapai secara optimum melalui pelaksanaan amalan baik guru dalam bilik darjah. Dalam usaha menjulang kecemerlangan pendidikan negara, tidak ada orang lain yang dapat membantu kita kecuali diri kita sendiri. Seorang pendidik yang professional mestilah sanggup mengubah paradigma dan pendekatannya terutama sekali dalam aspek pengajaran dan pembelajaran supaya ianya berkesan dan berkualiti . Antara amalan baik guru dalam bilik darjah adalah :

1.         pentaksiran dan penilaian
2.         budaya berfikir
3.         bertanya soalan
4.         penggunaan ABM
5.         motivasi dan peneguhan

Huraian Dan Perbincangan

1.         Pentaksiran Dan Penilaian
Tujuan utama pentaksiran dalam bilik darjah adalah untuk mendapat maklumat tentang kemajuan dan pencapaian seseorang pelajar. Pentaksiran dalam bilik darjah merangkumi aktiviti-aktiviti seperti pembentukan ujian bertulis dan pentaksiran prestasi (performance assessment), penggredan, mentafsir skor peperiksaan, memberi maklum balas tentang hasil pentaksiran dan penggunaan hasil pentaksiran dalam membuat keputusan.

Airasian (2001) menyatakan amalan pentaksiran yang biasa dilakukan oleh seorang guru dalam bilik darjah meliputi aspek-aspek seperti mengesan tahap penguasaan pembelajaran pelajar, memberi latihan atau kerja rumah kepada pelajar berdasarkan tahap pencapaian pelajar, menyemak hasil kerja pelajar, menentukan konstruk yang ingin ditaksir dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan merangsang pelajar untuk belajar. Semasa pemerhatian dibuat ke atas guru tersebut, saya dapati amalan terbaik ini ada diamalkan di dalam kelas. Di awal p&p lagi, guru tersebut cuba untuk mengimbas kembali p&p lepas dan sekaligus mengedarkan kepada murid-murid buku-buku latihan yang telah guru kutip pada minggu lepas. Saya mendekati salah seorang daripada murid tersebut untuk mengetahui bagaimana penilaian dibuat. Pengajaran yang bercorak tatabahasa itu dinilai berdasarkan penilaian formatif yang dipetik daripada buku rujukan. Guru juga membuat rumusan terhadap kerja murid dengan menegur dan memperbetulkan kerja murid-murid. Komen-komen yang bernas juga diujar agar penambahbaikan dapat dilakukan oleh murid-murid.

Guru menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran untuk mengesan perkembangan pembelajaran pelajar (Stiggins & Bridgeford, 1984). Selain penilaian melalui buku latihan, guru juga membuat penilaian semasa dalam proses p&p dengan menilai aktiviti pengukuhan yang dilaksanakan oleh guru. Contohnya, seperti dalam p&p guru ketika itu yang mengajar tajuk Alam Ceria Kita Selesa, murid dinilai dengan skema pemarkahan yang biasa. Mereka dinilai sama ada menguasai pembelajaran ketika itu ataupun tidak dengan mengenalpasti murid-murid yang tidak dapat menyebut dan menghuraikan keadaan persekitaran yang telah ditetapkan oleh guru. Contohnya, guru telah menyebut tandas murid, murid-murid tidak dapat menghuraikan keadaan persekitaran tandas murid-murid ketika itu. Maka, daripada penilaian tersebut guru telah dapat membuat kesimpulan di sini bahawa murid-murid belum lagi menguasai tajuk yang telah diajarkan ketika itu.

Begitu juga dengan aktiviti pengayaan dan pemulihan guru ketika itu. Di dalam aktiviti pengayaan, murid-murid disuruh untuk memberi komen berdasarkan kepada gambar yang dilihat dan berfikir untuk memberi cadangan penyelesaian ke arah kebersihan sekolah.

Rajah A

Guru tersebut membuat aktiviti pemulihan dengan membentuk ayat tunggal berdasarkan kepada contoh gambar yang telah diberi seperti Rajah B di bawah. Guru dapat membuat rumusan melalui hasil kerja murid-murid. Di dalam aktiviti pemulihan ini, penilaian dapat dibuat sama ada murid dapat membuat ayat tunggal atau pun tidak.



Rajah B


Dalam bilik darjah, guru biasanya gunakan ujian bertulis dan pentaksiran prestasi (performance assessment) atau pentaksiran autentik seperti pemerhatian dan teknik soal jawab untuk memperoleh maklumat tentang pembelajaran pelajar (Airasian, 2001; Stiggins & Bridgeford, 1984). Dalam kelas tersebut, guru juga banyak menggunakan teknik soal jawab kepada murid-murid. Penerangan lanjut berkenaan dengan soal jawab atau pun penyoalan ini akan dibincangkan di dalam amalan terbaik guru yang ketiga.

Pada hemat saya sebagai guru pelatih, saya dapati bahawa guru yang mengamalkan amalan pentaksiran dan penilaian ini mengambil langkah yang bijak di dalam pengurusan p&p mereka. Guru ini bukan sahaja dapat mengenalpasti tahap penguasaan murid-murid bahkan guru akan mendapat maklum balas yang berterusan terhadap penilaian murid. Melalui aktiviti penilaian yang dilakukan, guru akan dapat gambaran prestasi murid-murid terhadap p&p guru. Tindakan susulan boleh diambil oleh guru dengan melakukan refleksi kendiri dan seterusnya memperbaiki proses p&p guru.

2.         Budaya Berfikir
Di dalam kelas pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru yang saya perhatikan, guru tersebut mengamalkan nilai budaya berfikir dalam kalangan murid-murid. Soalan-soalan disebarkan ke seluruh kelas dan ini sekaligus menggalakkan semua murid-murid berfikir dan menjana idea-idea baru kepada persoalan, fakta atau kenyataan berdasarkan kepada topik yang diajar. Sebagai contoh, ketika guru tersebut menunjukkan kad gambar yang dilabelkan A, B, C dan D seperti pada Rajah C di bawah, guru itu bertanya apakah yang dapat diperhatikan di dalam gambar tersebut. Ini mendorong murid-murid untuk berfikir dan menyatakan hujah berdasarkan kepada konteks makna mereka sendiri.
Rajah C
            Di samping itu, guru itu juga menggunakan soalan yang berkategori dan mencabar. Sebagai contoh pada Rajah C di atas guru meletakkan perbandingan di antara dua gambar senario yang berbeza. Guru mengarahkan murid-murid untuk membuat perbandingan iaitu mencari dan perbezaan yang dapat diperhatikan melalui gambar itu tadi. Guru menggunakan kaedah mengemukakan soalan yang mencabar dan menggalakkan murid-murid berfikir secara sistematik dengan menggunakan alat berfikir iaitu otak mereka. Dari sinilah, perkembangan minda murid dapat diperhatikan perkembangannya melalui respons dan tingkah laku mereka. Sama ada soalan yang dikemukakan oleh guru dapat menarik minat murid-murid serta menimbulkan tanda tanya murid-murid.

            Teknik dan kaedah penyoalan yang baik juga ada diterapkan oleh guru. Guru itu menyebarkan soalan ke seluruh kelas dan kata kunci soalan yang sangat jelas. Guru itu mewujudkan suasana murid yang tertanya-tanya dan menggalakkan murid untuk berfikir. Ini akan membentuk satu siri soalan yang saling berkaitan antara satu sama lain. Sekaligus, mewujudkan rangkaian idea hasil dari cetusan buah pemikiran oleh murid-murid.

3.         Bertanya Soalan
Sepanjang proses p&p guru, beliau banyak menggunakan teknik penyoalan. Teknik ini sering digunakan untuk mendapat maklum balas murid terhadap pelajaran ketika itu. Tak cukup dgn itu, guru itu bertanyakan murid berkenaan dgn pengajaran guru yang lepas.
Semasa pemerhatian saya, saya dapati teknik yang digunakan guru itu amat berkesan. Ini adalah kerana sewaktu guru itu menyoal, hampir 100% murid-murid mengangkat tangan. Saya amat terkejut pada mulanya kerana ia merupakan satu senario baru yang tidak saya dapati sewaktu menjadi guru sandaran di sekolah menengah dahulu kerana kebanyakan pelajar sekolah menengah tidak mengamalkan budaya menjawab soalan. Apatah lagi budaya bertanya soalan. Ini jauh berbeza dengan apa yang saya alami ketika menjalankan PBS (Pengalaman Berasaskan Sekolah) di SK Abang Leman Kabong. Pelajar sekolah menengah tidak mengamalkan kemahiran belajar cara belajar ini yang menyebabkan mereka tidak menguasai mata pelajaran yang diajar.
Dalam proses p&p guru tersebut, beliau banyak mengemukan banyak soalan yang berlainan aras. Pada hemat saya, saya dapati soalan guru banyak memfokuskan kepada satu idea kepada idea yang lain. Ia sangat jelas dan murid-murid memahami apakah kehendak soalan yang diutarakan. Soalan-soalan yang disebarkan sangat jelas, tepat dan ringkas. Di antara soalan-soalan tersebut terdapat hentian sebentar. Proses ini penting supaya murid-murid dapat meluangkan masa untuk berfikir mengenai jawapan kepada persoalan yang diajukan.
Kaedah guru itu adalah kaedah yang terbaik dan patut diamalkan oleh semua guru. Beliau menggunakan teknik-teknik penyoalan yang sangat sesuai dengan keadaan persekitaran kelas. Beliau melakukan alih-hala soalan di mana beliau tidak hanya memfokuskan soalan kepada satu-satu murid sahaja. Beliau menyebarkan soalan ke seluruh kelas dan alih-hala soalan berlaku ketika guru itu mendapati murid-murid tidak dapat menjawab soalan yang telah diberikan. Beliau akan memberikan peneguhan kepada murid terbabit dan meminta murid-murid lain yang menjawabnya. Satu perkara yang dilakukan oleh guru itu yang jarang dilakukan oleh saya sewaktu menjadi guru sandaran tidak terlatih dahulu ialah apabila guru mengajukan soalan ke seluruh kelas, terdapat beberapa murid yang sama sahaja yang menjawab soalan, maka guru itu mengucapkan terima kasih kepada murid itu kerana mencuba dan guru itu akan mengalihkan soalan tersebut kepada murid-murid lain yang belum lagi mencuba. Pendekatan yang dibawa oleh guru ini adalah baik kerana guru tersebut ingin membawa semua murid-murid terlibat di dalam proses p&p.

4.         Persekitaran Fizikal Bilik Darjah
Guru itu juga amat mementingkan kebersihan, keselamatan dan keselesaan persekitaran fizikal bilik darjah. Sebaik sahaja guru itu masuk ke kelas, dia akan memastikan persekitaran bilik darjah bersih dan ceria. Dia akan mengarahkan murid-murid untuk mengutip sampah-sampah di bawah kerusi meja mereka. Tidak cukup dengan itu, dia berjalan-jalan ke seluruh kelas untuk memastikan tiada sampah di bawah meja, kerusi dan di dalam meja murid-murid. Dia juga telah memastikan pengudaraan kelas berada dalam keadaan baik dengan membuka tingkap di bahagian meja guru yang selama ini ditutup. Tindakan guru ini baik untuk kelas dan murid-murid di mana ia akan memberikan pengudaraan yang cukup di samping memberikan kelesaan yang maksimum.
            Sewaktu pemerhatian saya itu juga, guru itu ada membetulkan kedudukan meja murid-murid di bahagian belakang sewaktu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini merupakan satu amalan yang harus diamalkan oleh guru di dalam bilik darjah. Kedudukan kerusi meja yang tersusun akan menggambarkan suasana kelas yang kondusif dan selamat.
            Kemudahan di dalam kelas juga diselenggara dengan elok dan rapi. Saya dapat perhatikan semua kipas angin berfungsi dengan baik. Penyapu, penyodok, dan tong sampah juga disusun kemas di satu sudut di bahagian belakang kelas. Almari berada dalam keadaan bersih dan buku-buku di susun dengan rapi pad arak buku. Dari sini saya dapat simpulkan murid-murid kelas tersebut telah membuat pembersihan kelas sebelum sesi p&p berlangsung.
            Saya dapat perhatikan bahawa guru ini amat mementingkan kawalan persekitaran fizikal bilik darjah. Bagi saya, tindakan guru ini adalah tindakan yang baik yang memang patut diamalkan oleh semua guru. Ini penting untuk memastikan tujuan sebenar iaitu proses p&p guru dapat berjalan dengan lancar.

5.         Peneguhan
Peneguhan positif dan peneguhan negatif merupakan satu kaedah yang digunakan untuk mengawal atau untuk meneruskan sesuatu tingkahlaku yang ditunjukan oleh seseorang. Ia adalah suatu bentuk pengukuhan kepada tingkah laku baru ( positif ) yang terhasil daripada pengubahsuaian tingkah laku bermasalah murid, bagi menjamin pengekalan tingkah laku baru yang positif.

Sebagai contoh, di sepanjang pemerhatian saya, guru itu sentiasa menekankan aspek peneguhan dengan memberi galakan dan pujian. Ini boleh dilihat sewaktu guru itu menyoal murid-murid. Bagi murid-murid yang dapat menjawab soalan guru tersebut, guru itu telah memberikan pujian dan galakan supaya meneruskan pencapaian dan komitmen baik yang ditunjukkan. Tindakan guru yang mengamalkan sikap terbaik ini bukan sahaja akan mewujudkan suasana positif di dalam kelas, bahkan ia akan menimbulkan minat dan meningkatkan perhatian murid terhadap mata pelajaran yang diajar.

Akibat daripada kesan positif yang terhasil maka akan menimbulkan kesediaan murid untuk belajar. Kaedah dan teknik pengajaran guru yang sering diubahsuai untuk disesuaikan dengan tahap pencapaian murid yang berbeza-beza ini sekaligus menimbulkan perasaan ingin tahu murid-murid. Layanan yang adil terhadap semua murid diberikan. Ini boleh dilihat ketika guru itu menjalankan aktiviti pemulihan yang khusus diberikan kepada murid-murid yang lemah. Murid-murid ini harus diberikan layanan yang sama rata dengan murid lain tetapi amat bertimbangrasa. Ini akan mewujudkan suasana sosio-ekonomi yang seimbang.

andai kata kita mahu seseorang murid itu meneruskan tingkahlaku yang ingin dilihat, maka peneguhan positif akan digunakan agar individu tersebut akan lebih cenderung untuk mengulangi tingkahlaku tersebut di masa yang akan datang. Jika perlakuan yang diperlihatkan oleh seseorang itu tidak dialu-alukan, maka peneguhan negatif akan digunakan untuk menghalang individu terbabit mengulangi tingkah laku tersebut di masa yang akan datang.

Penutup
Tugas mengajar dan mendidik adalah satu pekerjaan yang sangat mulia. Kejayaan amalan baik ini dalam usaha memperkasakan budaya kerja dalam kalangan pendidik adalah satu tanggungjawab yang perlu dihayati bersama. Di samping itu, amalan ini perlulah mendapat sokongan dan kerjasama daripada semua pihak bagi membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, beretika, berpengetahuan dan berkemahiran. Bagi mencapai hasrat ini, para guru perlulah dapat memperkasakan diri mereka sendiri bagi menjadi “guru sebenar” yang sentiasa mengamalkan perlakuan sebagai seorang guru.

No comments:

Post a Comment