Edit

Friday 20 December 2013

Teori Kata Kunci: Dipetik dari teks sastera Mahsuri



            Berdasarkan kepada teks sastera Mahsuri yang telah dipilih, terdapat beberapa perkara yang ditekankan yang kita boleh ambil yang menjurus kepada teori konseptual kata kunci. Teori yang telah diperkenalkan oleh Mohammad Mokhtar Hassan ini membahagikan teori ini kepada tiga bahagian utama iaitu kepengaruhan, kata kunci dan kesan. Kupasan lanjut teori kata kunci terhadap teks sastera ini dihuraikan seperti di bawah.

            Di dalam teks sastera Mahsuri ini, banyak menekankan tentang kepengaruhan terhadap sesuatu perkara. Misalnya, dari segi kepengaruhan kepercayaan. Secara keseluruhannya, kami mendapati, teks sastera ini banyak dipengaruhi oleh adat & kepercayaan masyarakat melayu. Baik dari segi gaya bahasa, plot penceritaan, watak perwatakan dan sebagainya. Elemen yang diterapkan di dalam cerpen ini misalnya banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur kemelayuan baik dari segi gaya hidup, tatacara kehidupan dan sebagainya. Unsur-unsur yang dipengaruhi oleh gaya hidup boleh dipetik daripada ayat di bawah.


“keluarga miskin ini menjalankan kegiatan pertanian sebagai sumber rezeki utama iaitu berhuma, bercucuk tanam, penternakan sara diri dan mencari barang-barang hutan”.


(peranggan 1 baris 3)

            Daripada ayat di atas, kami dapati terdapat kepengaruhan wujud di sini. Iaitu fahaman masyarakat melayu itu sendiri di mana apabila orang di dalam kategori miskin, sudah semestinya mata pencarian mereka adalah dengan berhuma, bercucuk tanam, penternakan sara diri dan mencari barang-barang hutan. Seolah-olah perkara seperti ini telah menjadi kebiasaan aktiviti-aktiviti orang miskin. Bagaimana pula dengan orang yang kaya, tidakkah mereka terfikir bahawa sesetengah orang yang kaya juga mengamalkan hidup yang sederhana. Ada di antara mereka juga pernah melakukan aktiviti-aktiviti seperti yang disenaraikan di atas untuk mencari rezeki. Sesetengah orang mungkin tidak akan menerima pendapat sedemikian. Maka, akan wujudlah pelbagai persepsi yang lain daripada yang lain yang menjurus kepada latar belakang penulis itu sendiri. Begitu juga dengan ayat di bawah.


“Dalam masyarakat Melayu petani, padi adalah simbol kemakmuran dan punca rezeki yang dihormati. Apabila Maya Padi yang berupa kerak nasi dibawa balik kepada isterinya, Mak Andak Alang telah mencampurkan dengan nasi yang ditanak. Memakan nasi bercampur Maya Padi ini menjadi titik peralihan yang mengubah nasib keluarga Pandak Maya. Rezekinya mula bertambah dan seterusnya isterinya hamil lagi.”


(perenggan 1 baris 8)
           
Kefahaman masyarakat melayu ditekankan di sini menunjukkan bahawa kepercayaan karut masyarakat melayu yang ditonjolkan adalah melalui kesan yang telah dibawa apabila mereka mencampurkan Maya Padi dengan nasi yang sedang ditanak. Perubahan yang diluar jangkauan berlaku yang mengakibatkan sesuatu yang tidak terduga berlaku. Contohnya di dalam konteks petikan ayat di atas ialah rezeki yang telah dibawa. Semua ini terhasil daripada kefahaman yang wujud di dalam minda dan diri seseorang individu itu sendiri yang akhirnya akan menganggap sesuatu itu memang pasti dan benar. Penulisan yang berbentuk seperti ini mungkin dipengaruhi oleh gaya hidup penulis itu sendiri. Atau pun mungkin hanyalah berdasarkan kepada pengalaman penulis atau melalui pembacaan. Kefahaman seperti ini selalunya terbentuk daripada kepercayaan orang-orang tua dahulu dan diwarisi dari generasi ke generasi. Setengahnya akan kekal menjadi kepercayaan di dalam sesuatu bangsa atau kaum. Ada sesetengahnya pula akan hilang dek ditelan zaman akibat daripada pemodenan yang dibawa.


“mengikut kepercayaan orang tua, siapa yang memakan daging itek ini akan beroleh rezeki yang melimpah”.


(peranggan 3 baris 4)

            Serupa juga dengan petikan ayat di atas, unsur kepercayaan masyarakat ketika itu banyak mempengaruhi segala aspek di dalam kehidupan. Baik dari segi keputusan, tindakan, mahupun adat resam. Konsep yang cuba ingin ditonjolkan oleh pengarang di sini ialah elemen kepercayaan sesuatu kaum terhadap sesuatu perkara. Dalam cerpen sastera ini, yang ingin ditonjolkan ialah dari golongan masyarakat melayu. Oleh itu, pengarang akan menerbitkan segala sejarah salasilah melayu hingga ke pengaruh pembentukan kepercayaan masyarakat melayu. Contohnya seperti petikan di atas. Jika diikut dari segi logik akal, mustahil jika kita makan daging itek itu akan beroleh rezeki yang melimpah-ruah. Dari segi kandungan biologinya, daging itek juga sama sahaja dengan daging-daging yang lain. Tidak akan ada kandungan lain yang boleh menyebabkan rezeki akan melimpah ruah kepada si pemakannya. Melainkan jika dilalui dengan acara ritual ataupun pemujaan. Maka, tidak mustahil makanan tersebut boleh memberikan rezeki kepada si pemakannya. Konsepnya serupa sahaja dengan tangkal azimat.


“sebelum menghembus nafas terakhir, Mahsuri bersumpah-Langkawi tidak akan aman dan makmur selama tujuh keturunan. Aneh kerana yang bersalah ibu mertuanya Mahura dan bapa mertuanya Dato Seri Kama Jaya sahaja dan bukan seluruh Langkawi”.


 (peranggan 11 ayat 1)

            Daripada petikan teks di atas pula, generalisasi yang melampau-lampau pula telah diwujudkan. Selalunya gaya penulisan seperti ini dibentuk adalah kerana dipengaruhi oleh pengalaman penulis itu sendiri. Pembacaan juga adalah merupakan faktor yang terkuat di sini. Kata-kata atau pun konsep yang selalu didapati  adalah melalui hasil karya-karya pengarang atau pengkarya lain. Kata-kata ini adalah kata kunci yang melingkari konsep. Rumusan karya yang terhasil akan menghasilkan karya yang juga mempunyai sedikit persamaan dengan karya asal.

            Jika dilihat dari aspek kata kunci, pengarang menggunakan berbagai jenis kata kunci yang melingkari fikirannya. Sebagai contoh, ketika di zaman perawan Mahsuri. Pengarang menekankan Mahsuri adalah sebagai seorang gadis yang sangat cantik dan menjadi rebutan dari pelbagai golongan. Sehinggakan ingin disunting oleh golongan pembesar. Di sini, pengarang menggunakan konsep kecantikan yang tiada tolok bandingnya sebagai kata kunci untuk menggambarkan sifat keperawanan Mahsuri yang begitu menonjol.

            Semasa tragedi menimpa Mahsuri, pengarang menggunakan elemen-elemen yang sangat tragis menimpa Mahsuri. Antaranya unsur-unsur kesedihan, simpati, ketabahan serta berbagai-bagai lagi elemen yang telah digarap untuk menimbulkan situasi terdapat penganiayaan dan ketidakadilan terhadap Mahsuri. Dato Seri Kama Jaya dan Mahura boleh dijadikan sebagai kata kunci untuk menunjukkan betapa sengsaranya hidup Mahsuri dianiaya oleh Dato Seri Kama Jaya dan Mahura. Mahsuri dikahwinkan dengan orang yang dia tidak cinta, Mahsuri difitnah mempunyai hubungan sulit dengan Deramang, Mahsuri dihukum bunuh oleh Dato Seri Kama Jaya tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Sultan Kedah merupakan antara penganiayaan dan ketidakadilan yang telah diterima oleh Mahsuri. Di sini, pengarang menggunakan kata kunci penganiayaan dan ketidakadilan untuk menggambarkan hidup Mahsuri yang sangat tragis.

            Kesan akibat penganiayaan tersebut, Mahsuri telah bersumpah bahawa Langkawi tidak akan aman dan makmur selama tujuh keturunan. Persoalannya di sini timbul apabila, yang menganiaya Mahsuri hanyalah ibu mertuanya Mahura dan bapa mertuanya Dato Seri Kama Jaya sahaja dan bukan seluruh Langkawi. Kenapa sebelum Mahsuri menghembuskan nafas terakhir, dia telah bersumpah sedemikian? Di sini, pengarang ingin cuba menggambarkan bahawa betapa Mahsuri ini tidak pernah menerima apa yang telah berlaku ke atas dirinya. Walaupun dia digambarkan sebagai perempuan yang cantik dan lemah lembut, namun terdapat juga sifat yang bertentangan dengan dirinya yang timbul akibat dari penganiayaan terhadap dirinya. Benci, amarah, dendam merupakan antara kata kunci yang cuba ingin ditimbulkan oleh pengarang. Oleh kerana sifat-sifat begitulah dia telah bersumpah sedemikian sehingga seluruh Langkawi menerima sumpahan sehingga tujuh keturunan.

            Jika dilihat dari aspek kesan pula, pengarang telah mewujudkan beberapa konsepsi terhadap kata-kata kunci yang telah dibentuk. Di zaman keperawanan Mahsuri lagi, dia telah dianugerahkan dengan wajah yang sungguh jelita. Akibat daripada itu, ramai lelaki dari pelbagai golongan yang cuba ingin mendekati dan meminang. Sehingga berlaku komplikasi yang timbul akibat daripada sifat cemburu pada Mahura apabila suaminya Dato Seri Kama Jaya berniat ingin menyunting Mahsuri.

            Keputusan yang telah diambil oleh Dato Seri Kama Jaya ini mengakibatkan Mahura berasa terancam kedudukannya. Kesannya, Mahura mengambil keputusan untuk mengahwinkan sahaja anak lelakinya Wan Mat Deris dengan Mahsuri. Perkahwinan yang diatur oleh Mahura tidak menyelesaikan masalah kebimbangan kemerosotan pengaruhnya ke atas suaminya dan penduduk Langkawi. Ekoran itu, Mahura telah memastikan Mahsuri tidak akan menetap sebumbung di rumahnya dan membiarkan anaknya menetap sahaja di rumah mertuanya.
           
Namun begitu, sifat dengki dan benci yang ada pada Mahura tidak terhenti di situ sahaja. Akibat populariti yang diraih oleh Mahsuri, Mahura memfitnah Mahsuri mempunyai hubungan sulit dengan Daremang. Kesannya, Mahsuri telah dihukum bunuh oleh Dato Seri Kama Jaya tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Sultan Kedah.

Di dalam karya sastera ini, banyak menggarapkan elemen sebab dan akibat. Kesan yang timbul akibat dari komplikasi yang tercetus membuatkan suasana penceritaan lebih dramatis di dalam diri seorang pengarang. Aspek kesan di sini cuba ingin ditonjolkan oleh pengarang untuk mewujudkan kesimbungan terhadap jalan cerita yang telah dibentuk. Berbagai-bagai emosi yang timbul ekoran dari penyusunan dan plot penceritaan yang cukup sempurna. Kesan akibat dari sebab sesuatu peristiwa yang dimainkan oleh pengarang dibentuk dengan cukup harmonis dan menyentuh perasaan. Pengarang juga bijak bermain dengan elemen-elemen yang menyentuh emosi. Pemilihan sifat watak serta peranan mereka memang begitu sesuai diwujudkan oleh pengarang.

No comments:

Post a Comment