Edit

Friday 20 December 2013

Teori Huraian Bahasa



(a)    Teori Tradisional (Panini)
Teori Tradisional oleh Panini (ahli tokoh fonetik India) menganggap bahawa bahasa ialah ucapan fikiran dan perasaan manusia dengan teratur serta menggunakan alat untuk membunyikan suara. Selain itu, ciri nahu teori ini mementingkan bahasa tulisan. Dalam hubungan ini, semua bahasa mempunyai peraturan yang sama dengan bahasa Yunani. Di samping itu, semua penutur diwajibkan untuk mematuhi peraturan dan kesilapan yang dilakukan dianggap sebagai kesalahan. Pengajaran banyak tertumpu kepada nahu terjemahan.

·        Dipelopori oleh Panini (India). 
·        Bahasa ialah ucapan fikiran dan perasaan manusia dengan teratur serta menggunakan alat untuk membunyikan suara.
·        Mementingkan bahasa tulisan
·        Penutur diwajibkan mematuhiperaturan, kesilapan yang dilakukan dianggap sebagai kesalahan
·        Pengajaran banyak tertumpu kepada nahu terjemahan

(b)   Teori Struktural (Bloomfield)
Teori ini dipelopori oleh Bloomfield, Edward Sapir, de Saussure dan Otto Jespersen. Mereka berpendapat bahawa bahasa ialah sistematis, mempunyai tatabahasa yang tersendiri, hidup dan berubah. Mereka juga berpendapat bahawa perkaitan antara fonem sebagai unit bahasa yang terkecil, dan unit tatabahasa dan ayat dapat dianalisis secara konstituen terdekat. Dalam kajian nahu pula mereka berpendapat bahawa bahasa sebagai sistem yang mempunyai ciri peraturan, sistem, arbitari untuk perhubungan. Mereka menumpukan kajian terhadap fonologi, morfologi dan sintaksis. Golongan struktural juga berpendapat bahawa huraian bahasa dilakukan secara induktif. Mereka juga berpendapat bahawa huraian bahasa tidak mementingkan makna dan analisis dibuat secara luaran.
·        Dipelopori oleh Edward Sapir, Bloomfield dan Leonard de Saussure.
·        Bahasa adalah sistematik, mempunyai tatabahasa sendiri hidup dan berubah.
·        Bahasa mempunyai satu sistem,mempunyai peraturan,, arbitrari dan digunakan untuk perhubungan.
·        Menumpukan kajian terhadap fonologi,morfologi dan sintaksis
·        Huraian bahasa dilakukan secara induktif.
·         Huraian bahasa tidak menentingkan makna dan analisis dibuat secara luaran 

(c)    Teori Transformasi Generatif (Chomsky)

Teori yang dipelopori oleh Noam Chomsky ini bersetuju bahawa manusia dilahirkan dengan kecekapan semula jadi untuk berbahasa. Penutur natif berkebolehan untuk membentuk dan memahami pertuturan yang baharu. Daripada kebolehan ini, akan terbentuklah rumus-rumus bahasa secara transformasi yang lengkap berdasarkan bahasa pertama terlebih dahulu. Binaan ayat biasanya mempunyai hubungan erat antara elemen dan menggunakan simbol atau rumus untuk menganalisis nahu. Sesuatu binaan ayat dapat dihuraikan dengan memahami stuktur luaran dan stuktur dalaman.

·        Dipelopori oleh Noam Choamsky
·        Manusia dilahirkan dengan kecekapan semula jadi untuk berbahasa.
·        Penutur natif berkebolehan membentuk dan memahami peraturan yang baru.
·        Daripada kebolehan ini akan membentuk rumus-rumus bahasa secara transformasi yang lengkap.
·        Penguasaan bahasa adalah berdasarkan penguasaan bahasa pertama terlebih dahulu.
·        Ayat mempunyai struktur dalaman dan luaran
·         Bahasa bersifat sejagat dan kreatif.

(d)   Teori Fungsional (Halliday)

Halliday dan Wilkins mempelopori teori fungsional. Teori ini berkembang pada tahun 1960- an dan 1970-an. Penteori ini mengkaji bahasa dari segi struktur dan fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Di samping itu, mereka menganggap bahawa bahasa sebagai alat pertuturan. Oleh hal yang demikian, dapatan mereka ini mementingkan aspek semantik. Mereka bersetuju bahawa kewujudan variasi dalam penggunaan bahasa tidak boleh dinafikan. Penggunaan bahasa dapat menggambarkan fikiran dan emosi penutur. Golongan ini beranggapan bahawa pengukuhan bahasa adalah secara verbal dan non-verbal. Aliran dan golongan ini bukan sahaja mengkaji bahasa daripada segi struktur tetapi memberi perhatian juga kepada fungsi bahasa sebagai alat komunikasi. Aspek yang ditekankan ialah perubahan-perubahan yang berlaku pada bentuk-bentuk bahasa ketika seseorang itu berkomunikasi.

·        Dipelopori oleh Haliday dan Wilkins.
·        Mengkaji tentang perubahan yang berlaku pada struktur  bahasa ketika seseorang berkomunikasi.
·        Anggap bahasa sebagai alat perhubungan.
·        Mementingkan aspek semantik
·        Pengukuhan bahasa boleh berlaku secara verbal dan non-verbal
·        Penggunaan bahasa dapat menggambarkan fikiran dan emosi penutur.
·        Turut memberi perhatian kepada fungsi bahasa sebagai alat komunikasi.
·         Aspek yang ditekankan ialah perubahan yang berlaku pada bentuk bahasa ketika seseorang itu berkomunikasi.

No comments:

Post a Comment