Edit

Friday 20 December 2013

Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) Bahagian 1

Bahagian I:
Cadang dan huraikan 4 cara guru berperanan dalam merealisasikan hasrat melahirkan murid yang “berkembang secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis”

Sewajarnya guru memainkan peranan penting dalam merealisasikan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan misi membangunkan sistem pendidikan bertaraf dunia serta menjadi pusat kecemerlangan pendidikan di serantau. Sehubungan dengan itu, usaha guru dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan adalah ditumpukan kepada penekanan-penekanan yang diambil oleh guru iaitu peranan-peranan yang harus dimainkan di dalam usaha untuk melahirkan murid yang “berkembang secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis”.
Peranan utama guru ialah sebagai seorang pendidik. Dalam merealisasikan matlamat pendidikan kebangsaan, seorang guru bertanggungjawab untuk mendidik murid-murid iaitu dengan memberi ilmu, memberi pendedahan dan pengalaman serta mendidik murid-muridnya berakhlak mulia. Guru berperanan untuk mengajar, menyampai maklumat, berbincang, mengendalikan bengkel dan sebagainya. Hal ini kerana guru merupakan insan yang dipertanggungjawabkan untuk mendidik murid-murid dengan segala ilmu pengetahuan supaya mereka dapat mengembangkan segala aspek yang ada dalam diri mereka iaitu dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Guru juga perlu mendedahkan murid-muridnya dengan pengalaman-pengalaman tertentu. Antaranya pengalaman mengembara, ikhtiar hidup di hutan, dan menyertai pertandingan. Hal ini adalah berkaitan dengan kegiatan kokurikulum di sekolah. Seterusnya, guru juga berperanan dalam mendidik murid-muridnya berakhlak mulia supaya mereka menjadi insan yang mulia. Dalam hal ini, pendidikan moral dan agama adalah penting. Guru hendaklah mendidik pelajarnya cara berhubung, berkomunikasi, adab makan, adab berpakaian, adab bergaul dan sebagainya supaya mereka menjadi insan yang berilmu dan bersahsiah selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
            Berikutnya ialah, guru berperanan sebagai jurulatih yang mencungkil bakat dan potensi murid. setiap murid di sekolah mempunyai keistimewaan tersendiri. Guru merupakan insan yang terbaik dalam mengenalpasti dan mengembangkan bakat dan potensi murid-muridnya. Hal ini kerana, sesetengah murid yang berbakat tidak dapat menonjolkan bakatnya kerana tidak mempunyai peluang dan tidak mengetahui cara yang betul untuk mengembangkan bakat mereka. Sekiranya guru di sekolah peka terhadap bakat dan potensi yang ada dalam kalangan murid, bakat mereka boleh diketengahkan dan dilatih ke tahap yang terbaik supaya dapat memberi sumbangan kepada pihak sekolah dan ke peringkat yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sekiranya seseorang murid itu mempunyai potensi dalam acara sukan, guru boleh melatih, membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada murid tersebut supaya bakatnya dapat diasah dan menjadi atlet yang terbaik. Secara tidak langsung, faktor jasmani murid tersebut dapat diperkembangkan dan mencapai salah satu matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Selain itu, guru juga harus memainkan peranan melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan pengetahuan dalammata pelajaran, serta pengetahuan ikhtisas keguruan. Untuk menyampaikan pelajaran dengan yakin dan menyebarkan ilmuyang lengkap, guru harus memperoleh ilmu pengetahuan yang luas sertamendalam tidak kira dalam mata pelajaran yang diajar maupun pengetahuan am.Objektif ini hanya boleh dicapai apabila guru sentiasa membaca buku ilmiah serta peka terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling melaluisuratkhabar, radio, televisyen dan internet. Selain pengetahuan am dan pengetahuan dalam mata pelajaran, seorangguru juga perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan ikhtisas keguruan.Ikhtisas ialah suatu pekerjaan yang biasanya memerlukan latihan dan pendidikanyang mendalam. Mengajar pula ialah sesuatu pekerjaan yang melibatkan intelekdan tindakan yang cekap. Guru perlu sentiasa belajar, berfikir, merancang danmenilai murid-muridnya. Di samping itu, beliau mesti mempunyai pengetahuanyang luas, kemahiran dan kaedah penyampaian yang cekap serta mempunyai sahsiah yang elok dan bersikap dedikasi dalam pekerjaan mengajar. Pelbagai jenis ilmu pengetahuan seperti ilmu psikologi kanak-kanak, ilmukaedah mengajar, ilmu kurikulum, dan sebagainya dapat diperolehi dalam meningkatkan pengetahuan ikhtisas keguruan. Selain membaca buku ilmiah,pengetahuan ini dapat diperolehi dengan menyertai seminar pendidikan dan menghadiri Kursus Dalam Perkhidmatan. Pengetahuan ini dapat meningkatkan prestasi guru dalam aktiviti pengajaran dan seterusnya menghasilkan pengajarandan pembelajaran yang berkesan dalam memenuhi hasrat FPG dan FPK.
Guru juga harus memainkan peranan di dalam menyemai dan memupuk nilai-nilai murni dan etika keguruan kepada diri dan pelajar selaras dengan tuntutan FPK.
Konsep nilai dalam konteks pendidikan adalah berkait dengan moral, prinsip atau kelakuan orang, khasnya pelajar-pelajar di sekolah. Salah satu cara untuk membentuk nilai moral yang baik, wajar dan diingini ialah melalui contohteladan.Guru perlu memainkan peranan sebagai ibu bapa kepada murid-muridnyadalam membentuk sahsiah dan kelakuan mereka sesuai dengan nilai dan normamasyarakat. Tingkah laku guru adalah contoh teladan kepada murid-murid. Olehitu, guru haruslah mempunyai sifat-sifat yang terpuji yang boleh menjadi teladankepada murid-murid untuk dicontohi. Sebagai contoh, guru haruslah sentiasaberpakaian kemas, berkelakuan baik, bersopan santun, berbudi bahasa,sentiasa menepati masa, rajin dan mempunyai sikap positif terhadap tugas-tugasnya. Sehubungan dengan ini, guru haruslah berusaha menyemai danmemupuk nilai-nilai murni dan etika keguruan kepada diri sendiri terlebih dahulu.
            Kesimpulannya, guru merupakan insan terpenting dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Hal ini kerana guru berperanan sebagai seorang pendidik, pembimbing, jurilatih, kaunselor, role model, penyemai dan pemupuk nilai murni, serta melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan pengetahuan dalam mata pelajaran, serta pengetahuan ikhtisas keguruan. Kelebihan-kelebihan ini harus dicurahkan kepada murid-murid dan masyarakat. Oleh yang demikian, guru perlu mempunyai kemahiran professional seperti kemahiran belajar, berfikir, merancang, menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran, mengajar, mengurus, menilai, berkomunikasi, menangani masalah dan berusaha ke arah perkembangan kendiri. Hal ini supaya mereka dapat mendidik dan melahirkan anak bangsa yang berkualiti, berpengetahuan, bersahsiah dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.




No comments:

Post a Comment