Edit

Friday 20 December 2013

Teori Konseptual Kata Kunci



Teori Konseptual Kata Kunci

Sebuah lagi teori ialah Teori Konseptual Kata Kunci yang diperkenalkan oleh Mohamad Mokhtar Hassan. Falsafah teori ini ialah seseorang pengarang itu dapat dikatakan mempunyai konsepsinya yang tersendiri terhadap sesuatu isu, hal, perkara atau objek dan sebaianya. Hal yang sama juga bagi individu yang lain. Konsepsi seseorang pengarang itu bukan sahaja dipengaruhi oleh latar belakang pendidikan, pekerjaan, mayarakat, kepercayaan, ideologi, pertubuhan yang diperjuangkan oleh pengarang itu dan sebagainya tetapi juga berkemungkinan berubah dengan berlakunya peredaraan umur, masa dan zaman. Konsepsi dalam bahasa Inggeris ”conception’ bermaksud ”notion” atau ”idea” (Kamus Inggeris- Melayu Dewan, 1992: 284). Dalam melihat konsepsi seseorang pengarang itu, dapat diteliti daripada kata-kata yang digunakan dalam karya. Kata-kata yang ditemui dalam karya atau beberapa karya pengarang itu dinamakan sebagai kata kunci.

Teori ini mengandungi tiga prinsip,1 iaitu:
i. Kepengaruhan
ii. Pemilihan kata
iii. Kesan

Prinsip pertama, iaitu kepengaruhan dihubungkan dengan pengarang atau pengkarya. Berbagai-bagai faktor yang mempengaruhi konsepsi seseorang pengarang atau pengkarya terhadap sesuatu isu, hal, perkara, objek atau sebagainya. Antaranya faktor latar belakang pengarang seperti pendidikan, pekerjaan, keluarga, masyarakat, budaya, kepercayaan, ideologi, politik, pertubuhan yang diperjuangkan dan sebagainya. Faktor umur, masa dan peredaran zaman juga sedikit sebanyak memainkan peranan dalam menentukan konsepsi seseorang pengarang itu. Faktor-faktor ini turut menen-tukan penerusan atau perubahan konsepsi seseorang pengarang atau pengkarya itu. Justeru itu dalam memahami konsepsi seseorang pengarang itu dengan mendalam, seseorang peneliti atau pengkaji yang ingin menerapkan teori ini harus mengenali latar belakang pengarang dan lain-lain faktor yang berkaitan yang mempengaruhi diri pengarang. Sebagai misalannya untuk mengenali konsep kemiskinan Usman Awang yang dikemukakan dalam karya-karya cerpennya, seorang peneliti harus mengenali latar belakang dan latar belakang keluarganya. Begitu juga untuk mengenali konsep perjuangan Keris Mas yang dikemukakan dalam cerpennya, seorang pengkaji harus mengenali latar belakang Keris Mas dan penglibatannya dengan beberapa pertubuhan yang diceburinya. Dengan mengenali latar belakang dan sebagainya, seoang peneliti atau pengkaji dapat memahami konsepsi pengarang dengan lebih jelas.

Prinsip kedua, iaitu pemilihan kata, dihubungkan dengan karya sastera. Dalam prinsip ini pengarang atau pengkarya akan menggunakan kata-kata yang berada dalam lingkungan dirinya untuk menyatakan konsepsinya terhadap sesuatu isu, hal, perkara, objek dan sebagainya. Kata-kata bagi sesuatu konsep itu akan sentiasa melingkari minda seseorang pengarang atau pengkarya. Kata-kata bagi sesuatu konsep itu akan dapat ditemui dalam karya-karya yang dihasilkan oleh pengarang atau pengkarya. Sebagai analoginya, seorang kanak-kanak apabila ditanya tentang hari raya maka terlintas dalam mindanya ”duit”, “baju” dan “kasut” dan sebagainya. Kata-kata ini merupakan kata kunci yang melingkari konsep Hari Raya bagi seorang 1 Untuk keterangan lanjut sila lihat Mohamad Mokhtar Hassan, Teori Konseptual Kata Kunci, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2005. 32 Mokhtar Hassan & Tengku Intan kanak-kanak. Berlainan pula bagi orang dewasa, kata-kata yang melingkari mindanya apabila memperkatakan konsep Hari Raya ialah ”silaturahim”, ”bermaafmaafan” dan ”kunjung-mengunjungi”.

Prinsip ketiga, iaitu kesan dihubungkan dengan pembaca. Konsepsi seseorang pengarang atau pengkarya terhadap sesuatu isu, hal, perkara, objek dan sebagainya dapat diperolehi oleh khalayak pembaca dengan meneliti karya atau karya-karya yang dibaca dengan meneliti kata-kata kunci yang digunakan oleh pengarang. Kejayaan menemui konsepsi seseorang pengarang atau pengkarya itu akan terhasil apabila konsepsi yang dikemukakan oleh khalayak pembaca itu menyamai konsepsi yang dikemukakan oleh pengarang atau pengkarya. Dalam hal ini, untuk mendapatkan konsepsi seseorang pengarang dengan lebih objektif, seseorang peneliti atau pengkaji itu harus memahami hal-hal yang berhubung dengan ekstrinsik pengarang dengan lebih mendalam.

Di samping beberapa teori yang telah dibincangkan di atas tadi, terdapat beberapa teori lain yang telah diperkenalkan oleh para sarjana dan pengkaji sastera tempatan. Antaranya ialah teori Takmilah dan teori Persuratan Baru. Kedua-dua teori ini juga mendapat sambutan dan pengaruhnya daripada peneliti dan pengkaji sastera tempatan.


No comments:

Post a Comment